Sunday, July 27, 2008

Pagi tadi, sarapan Yayi ialah roti yang dimakan dengan telur goreng yang telah dihancur-hancurkan, atau lebih dikenali sebagai 'scrambled egg' dalam Bahasa Inggeris. Ini amat berbeza dengan apa yang Yayi nikmati dahulu, iaitu ubi kayu dan getuk ubi. Kalau cucu-cucu hendak tahu, ia amat lazat sekali! Ia boleh disediakan dengan pelbagai cara, seperti direbus, digoreng ataupun dimakan dengan gula. Ubi kayu dan getuk ubi sering menjadi pilihan berbanding dengan roti kerana ia mudah didapati pada zaman Yayi dahulu. Di belakang rumah Yayi, bermacam-macam jenis pokok ditanam. Oleh itu, ubi kayu sering dijadikan santapan pagi!
Satu cara untuk mengisi masa masa lapang Yayi dahulu ialah dengan menonton wayang kulit. Ia sungguh berbeza dengan wayang yang cucu-cucu Yayi tonton di panggung wayang hari ini. Wayang kulit dahulu memerlukan patung-patung yang dilekatkan di kayu supaya patung-patung tersebut dapat digerakkan. Patung-patung ini pula diperbuat daripada kulit kambing dan sebagainya.

Persoalan-persoalan yang sering diketengahkan ialah kerajaan dan budaya orang Jawa. Kita dapat lihat bagaimana wayang kulit sudah kurang dimainkan.
Tarian zapin dan ronggeng sering dapat dilihat di majlis-majlis persendingan. Pada pendapat Yayi, tarian Melayu sungguh indah dan lembut. Ia menunjukkan sifat orang Melayu yang selalu mengalas bicaranya. Yayi masih ingat lagi setiap kali menonton tarian Melayu, Yayi akan sangat gembira. Malangnya, cucu-cucu Yayi hari ini kurang mendapatkan kesempatan untuk menyaksikan tarian-tarian seperti ini.

Saturday, July 26, 2008

Dahulu, jika ada gadis yang ingin mendirikan rumah tangga, dia harus menggiling daun inai sendiri untuk mendapatkan inai supaya dapat digunakan. Pertama, daun inai akan dipetik dari pohonnya dan akan dibersihkan. Setelah itu, daun tersebut akan digiling sehingga halus unuk mendapatkan cairan di dalamnya. Ini yang dinamakan pacar dan yang akan membuat tangan kita kemerah-merahan. Pastinya, inai serbuk yang dijual sekarang tidak setanding dengan inai yang digiling sendiri dahulu.
Cucu-cucu Yayi sering bermain permainan komputer yang mempunyai ciri-ciri keganasan di dalamnya. Yayi teringat ketika Yayi masih berumur 10 tahun, Yayi dan teman-teman akan bermain 'jelon'. Permainan ini amat ganas kerana harus ada aksi 'tangkap dan banting'. Seseorang akan cuba menangkap lawannya dan membantingknya ke lantai. Bunyinya ganas bukan? Tetapi, ini yang membuat kita lebih kuat dan dapat menahan keletihan ketika bekerja keras membanting tulang apabila dewasa. Sungguhpun begitu, Yayi tidak menasihatkan cucu-cucu Yayi bermain 'jelon' kerana anggota-anggota badan kalian seperti tangan boleh patah.
Waktu Yayi kecil dahulu, bermacam-macam permainan yang kita main di halaman rumah. Ini dapat kita lakukan dahulu kerana tempat yang luas, berbeza dengan hari ini. Pada pendapat Yayi, cucu-cucu Yayi sangat rugi kerana tidak dapat meluangkan masa dengan permainan-permainan seperti guli, congkak dan gasing. Ini kerana permainan komputer telah mengambil alih semua ini. Sekali-sekali, jika cucu-cucu Yayi sekalian mendapat peluang bermain permainan-permainan Melayu ini, rebutlah peluang tersebut, kerana Yayi jamin pasti cucu-cucu Yayi akan berpuas hati! Jangan lupa mencuba ya!
Sekarang, yayi ingin kongsi tentang pakain tradisional Melayu, iaitu baju kurung dan kebaya. Sama seperti hari ini, ia digunakan di majlis-majlis tertentu seperti Hari Raya dan majlis persandingan. Sayangnya, yayi memperhatikan ada perubahan yang berlaku pada pakaian Melayu kita hari ini. Pereka-pereka fesyen telah menggabungkan idea baju kurung dan kebaya hingga menjadi satu baju, iaitu 'kebarung'.

Baju kurung yang lengan bajunya sepatutnya hingga ke pergelangan tangan telah dipendekkan hingga hanya tiga suku panjangnya. Kain sarungnya yang seharusnya hingga ke buku lali juga disingkatkan. Yayi rasa dengan pengaruh Islam terhadap Budaya Melayu, memendekkan lengan baju dan menyingkatkan kain tidak sesuai, terutamanya bagi baju kuurng kaum wanita.

Thursday, July 24, 2008

Zaman Yayi dahulu, majlis pertunangan amat meriah. Kita menjual-beli pantun selama satu hingga dua jam lamanya! oleh sebab kampung Yayi dalulu kampung orang Jawa, pantun-pantun yang kita jual dan beli kebanyakkannya pantun jawa.

Dek usia, Yayi tidak ingat apa contoh pantun jawa yang dapat Yayi kongsi bersama. Yang pasti bagi Yayi, pantun Jawa lebih susah daripada pantun Melayu.

Selepas acara menjual-beli pantun, cincin akan ditukar antara pihak lelaki dan perempuan. Doa akan dibaca, diikuti pula dengan acara menjamu selera. Seperti biasa, sajian dihidangkan dan saudara-mara dan sahabat-handai akan makan bersama-sama.

Meriah sungguh acara pertunangan kita waktu dahulu!

Wednesday, July 23, 2008

Bunyi ibu kompang kedengaran. Selawat juga didendangkan. Tertanya-tanya, Yayi menjenguk ke bawah. Ternyata, di kolong blok di mana Yayi tinggal, ada majlis persandingan. Sayangnya, kemeriahannya tidak setanding dengan kemeriahan semasa majlis perkahwinan waktu Yayi masih muda dahulu.

Pada waktu dahulu, sifat gotong-royong itu amatlah penting terutamanya sesama tetangga. Ada yang akan memberikan lembu hingga 2 ekor, ada pula yang memberi beras berguni-guni, gula, susu, satu tin besar minyak sapi dan sebagainya. Ini memudahkan tuan rumah agar mereka tidak perlu mengeluarkan belanja yang terlalu banyak.

Kerja-kerja persiapan pula telah dimulakan seawal seminggu sebelum hari pernikahan. Tuan rumah biasanya memberi arahan, siapa yang akan buat apa lantas jiran tetangga, sahabat handai dan saudara-mara akan melaksanakan tugas masing-masing. Dahulu, kita tidak terlalu mengira tentang tanggungjawab masing-masing ataupun mengharapkan bayaran sesen pun. Ini dapat meringankan perbelanjaan yang terlalu banyak bagi mengadakan majlis itu.

Dahulu, suasana majlis perkahwinan sangatlah meriah. Jemputannya sekitar 700 hingga 1000 orang mengikut kemampuan masing-masing. Ramai bukan?

Berbeza dengan apa yang berlaku hari ini, tuan rumah perlu membayar tukang masak, kendarat dan sebagainya. Sifat gotong-royong atau 'rukunan' dalam bahawa jawa, sudah tidak begitu ketara hari ini. Yayi rindu sekali suasana meriah di majlis perkahwinan waktu Yayi muda dahulu.

Sunday, July 13, 2008

Assalamualikum!

Cucu-cucu Yayi sekalian, Yayi akan berkongsi pengalaman Yayi zaman Yayi muda dahulu. Ingat ya, ini semua norma orang-orang Melayu, jadi cucu-cucu Yayi sekalian bolehlah mengambil pengajaran untuk membantu kalian semua pada masa hadapan.

Mari ikuti Yayi mengimbas kembali zaman itu!